Lawatan Turun Padang Yb Haji Akmal Nasrullah Ke Projek Kediaman SPNB Aspire Residence Cyberjaya

SEPANG, 01 MAC 2023 – YB Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengadakan lawatan turun padang bagi melihat sendiri status terkini projek pembangunan kediaman Aspire Residence, di Cyberjaya hari ini.

Turut hadir, Ybhg. Dato’ Haji Abd. Hamid bin Hussain, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Norazam Khamis, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bomba Selangor dan En. Zahanuddin bin Kamarudin, Ketua Pengarah Pembangunan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Projek Aspire Residence Cyberjaya ini merupakan salah satu projek kediaman yang mula dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad pada tahun 2016 namun mengalami kelewatan akibat dari masalah aliran tunai kontraktor terdahulu.

Dengan pembinaan telah dimulakan semula pada bulan Mei 2022 oleh kontraktor penyelamat, KPKT yakin bahawa projek yang telah mencapai kemajuan sebanyak 89.74% ini akan dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan bagi memastikan kebajikan 558 pembeli sedia ada kediaman ini terpelihara.

Menurut YB Haji Akmal Nasrullah, KPKT akan terus memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang kerana terdapat banyak projek-projek sedemikian melibatkan kediaman dan perumahan penduduk.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa suatu inisiatif akan diambil untuk merangka semula dasar perumahan negara bagi mengelakkan masalah projek sakit dan terbengkalai berulang kembali.

YB Haji Akmal Nasrullah turut memaklumkan bahawa SPNB akan memastikan bahawa setiap hak-hak pembeli akan terjamin sepenuhnya tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli yang telah ditandatangani para pembeli sebelum ini. Ini termasuklah juga urusan pembayaran Denda Serah Lewat (LAD) seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli bagi menampung sebarang kerugian para pembeli.

Projek Aspire Residence Cyberjaya ini melibatkan pembinaan tiga blok kediaman meliputi 1,168 unit kediaman bagi tiga kategori berbeza mengikut saiz kediaman yang didatangkan dengan fasiliti lengkap seperti kolam renang, taman permainan, dewan serbaguna dan gimnasium.

SPNB sentiasa memberikan komitmen bagi memastikan projek-projek penyediaan perumahan kepada seluruh rakyat di bawah seliaan KPKT diberi keutamaan dalam memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan seluruh rakyat.

#KediamanAndaTanggungjawabKami

MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD

SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD (SPNB) adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.

Dikeluarkan oleh Seksyen Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-2618 2587/5659 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Di bawah pengurusan
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan

Aduan dan maklumbalas

Ikuti kami di sosial media
Sistem Pengurusan Anti-Bribery
©2023 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   Hakcipta Terpelihara