SPNB Lancar Projek Perintis Solar Panel Pertama Rumah Mesra Rakyat (RMR)
BANTING, 23 OGOS 2024 – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperkenalkan satu projek perintis baharu Rumah Mesra Rakyat (RMR) iaitu pemasangan Solar Panel kepada pemilik RMR di seluruh negara yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Turut hadir Yang Berbahagia Datuk Husam bin Musa, Pengerusi SPNB serta Yang Berhormat Tuan Borhan bin Aman Shah, Exco Perumahan dan Kebudayaan. Program perintis ini merupakan program pertama sepanjang 22 tahun RMR diperkenalkan sejak tahun 2002 sehingga kini.
Pemasangan solar pertama ini merupakan insiatif daripada Unit Teknologi Hijau SPNB (UTHS) untuk menyediakan panel solar kepada pemilik RMR bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga konvensional serta menurunkan jejak karbon kepada bumi hijau.
Projek solar ini menggunapakai panel sistem fotovolta suria (Solar Photovoltaic System) selari dengan Dasar Teknologi Hijau Negara dalam mengintergrasikan teknologi tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) yakni tenaga yang dihasilkan dari sumber yang boleh dijana semula seperti tenaga solar. Selari dengan visi UTHS dalam menyediakan teknologi hijau kepada golongan sasaran iaitu B40 bagi membantu menurunkan kos bil elektrik kepada pemohon / pemilik RMR selain dapat meningkatkan kualiti, taraf hidup serta menjaga keseimbangan alam sekitar.
SPNB telah memilihSyarikat Teraju Lima Sdn. Bhd. sebagai penyedia Perkhidmatan Solar PV yang berdaftar (RPVSP) di bawah Sustainable Energy Development Authority (SEDA Malaysia) untuk bekerjasama melaksanakan projek perintis solar ini. Ia bertepatan dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kelestarian dan kesejahteraan rakyat melalui penggunaan teknologi hijau. Bagi menghargai usaha ini, Syarikat Teraju Lima juga berbesar hati menyumbang dua (2) set lampu limpah solar 200W kepada pemilik RMR.
Pelaksanaan Projek perintis ini menggunapakai program solar NEM Rakyat (Skim Pemeteran Tenaga Bersih [Net Energy Metering, NEM]) yang mana pemasangan panel fotovolta suria di bumbung rumah akan menggunakan tenaga yang dihasilkan terlebih dahulu. Manakala bagi lebihan tenaga yang dihasilkan, akan dieksport ke grid TNB berdasarkan pengimbangan bil elektrik “one-on-one offset”.
Antara manfaat panel solar PV RMR kepada pemilik adalah :-
i. Penjimatan kos: Pemilik RMR dapat menikmati penjimatan bil elektrik yang ketara dari penggunaan tenaga solar.
ii. Kesedaran Alam Sekitar: Mendidik komuniti RMR tentang kepentingan tenaga boleh diperbaharui dan amalan mampan.
iii. Model Pembangunan: Menjadi contoh kepada program RMR yang akan datang dalam melaksanakan teknologi hijau.
Selain itu juga, SPNB berharap dengan pelancaran projek perintis ini dapat menarik perhatian dan sokongan daripada Kerajaan dalam menyediakan insentif seperti:
i. Subsidi dan geran: bagi mengurangkan kos pemasangan tenaga solar panel fotovolta.
ii. Peruntukan khas kuota tenaga NEM Rakyat kepada Program RMR SPNB dari segi mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan pemasangan sistem solar.
SPNB jelas memperkasa Projek Perintis RMR Solar sebagai langkah signifikan ke arah perumahan yang lebih mampan serta komitmen SPNB untuk mengalakkan penggunaan tenaga yang lebih bersih, efisien serta bermanfaat kepada pemilik RMR.
Semenjak RMR diperkenalkan pada tahun 2002 sehingga 31Julai 2024, SPNB telah berjaya membina sebanyak 3,484 unit RMR di Negeri Selangor. Secara keseluruhannya, SPNB telah berjaya membina sebanyak 66,516 unit RMR di seluruh Negara.
#KediamanAndaTanggungjawabKami
#RMR
MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD
SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD (SPNB) adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) di bawah pengurusan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.
Dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder SPNB. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-7849 2000 ext: 2584 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.