SPNB Bersama Kerajaan, Pemain Industri dan Rakyat Jayakan Pelan Pemulihan Negara
Rabu, 16 Jun - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebagai sebuah organisasi yang diberi mandat untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan rakyat di Malaysia menyambut baik dan menyokong penuh 'Pelan Pemulihan Negara' yang diumumkan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
SPNB yang sinonim dengan projek perumahan Rumah Mesra Rakyat menyifatkan pelan berkenaan menjadi manifestasi kepada hasrat dan usaha kerajaan untuk mengakhiri kemelut pandemik COVID-19 serta mengembalikan ekonomi Malaysia ke tahap pra-pandemik dengan segera.
Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Datuk Hasleen Isnin dalam satu kenyataan berkata, sebagai salah satu pemain dalam industri perumahan di Malaysia, SPNB percaya sebarang usaha untuk memulihkan negara, baik dari segi ekonomi mahupun kesihatan harus disokong penuh kerana ia bukan sahaja menjamin kelangsungan sektor perumahan dan pembinaan, tetapi lebih penting ia dapat memastikan syarikat tersebut dapat menunaikan janji untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Pada masa sama, SPNB turut menyambut baik langkah kerajaan untuk melancarkan program pemberian vaksin kepada sektor ekonomi kritikal menerusi Fasa Keempat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) seperti mana yang diumumkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) baru-baru ini.
“Kami ambil maklum wujudnya risiko penularan wabak terutamanya melibatkan kluster tempat kerja, dan kami percaya usaha kerajaan mempercepatkan proses imunisasi kepada sektor ekonomi kritikal yang menjadi teras kepada pembangunan ekonomi adalah bertepatan dengan usaha untuk menyegerakan proses pemulihan negara”, beliau berkata.
“SPNB juga akan terus menyokong program imunisasi kerana kami percaya, apabila sektor-sektor kritikal sudah boleh beroperasi dengan baik, ia secara tidak langsung bakal menyokong sektor-sektor ekonomi yang lainnnya, bertepatan dengan indikator dan fasa yang digariskan dalam 'Pelan Pemulihan Negara' yang diumumkan Perdana Menteri,” tambah beliau lagi.
Menurut Hasleen, SPNB komited untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan, pemegang taruh dalam industri serta pelanggan-pelanggan untuk memastikan semua pihak cekal dan tabah bersama sama mengharungi dan mengakhiri kemelut ini bersama-sama. SPNB akan memastikan pematuhan SOP dalam operasi dan memantau serta menggalakkan vaksinasi di kalangan kakitangan, kontraktor dan pembekal sepanjang operasi di dalam jangka waktu pemulihan.
Dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder
Syarikat Perumahan Negara Berhad