SPNB perkenal cat insulasi panas guna sekam padi

Sinar Harian

KOTA BHARU - Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) memperkenalkan cat insulasi panas menggunakan sekam padi dalam usaha memantulkan haba daripada cahaya matahari ke atas Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah seliaan agensi itu. Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, penggunaan bahan itu juga mampu mengurangkan penggunaan penghawa dingin dan kipas pada kadar yang tinggi sekali gus menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

"Kita telah mencuba cat ini ke atas sebuah rumah RMR di Pasir Mas pada tahun 2022 lalu. Hasil kajian yang dibuat oleh Universiti Pertanian Malaysia (UPM) mendapati kita dapat kurangkan kepanasan pada jam 11 pagi sekitar 6.6 darjah Celcius. "Pada waktu tengah hari sehingga jam 2 petang, penurunan maksimum sampai 9.9 darjah Celcius," katanya ketika sidang akhbar selepas lawatan ke tapak pembinaan RMR Kampung Tukor, di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, pengenalan cat berkenaan merupakan salah satu usaha mengurangkan pemanasan global bagi sesebuah rumah dalam konteks negara dan dunia hari ini. Dalam perkembangan lain, Husam berkata, Lembaga SPNB telah memutuskan untuk pelaksanaan rumah RMR 2.0 bagi membantu bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

Ujarnya, permohonan untuk RMR 2.0 ini lebih meluas berbanding RMR sedia ada kerana ia tidak melibatkan pembayaran secara ansuran mahupun gadaian atau cagaran tanah.

"Rumah RMR 2.0 ini sama dengan RMR sedia ada dari segi keluasan rumah, subsidi serta tempoh disiapkan kurang daripada tiga bulan cuma ia perlu dibayar secara tunai.

"Sejak dua bulan RMR 2.0 ini diluluskan, kita telah menerima permohonan dan ia sedang dalam proses untuk pelaksanaan," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/656146/berita/nasional/spnb-perkenal-cat-insulasi-panas-guna-sekam-padi2

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Di bawah pengurusan
KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

Aduan dan maklumbalas

Ikuti kami di sosial media
Sistem Pengurusan Anti-Bribery
©2023 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   Hakcipta Terpelihara