SPNB Serah Rumah Mesra Rakyat Kepada Balu Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan Dan Kebangsaan

PASIR PUTEH, 11 OGOS 2024 – YBhg. Datuk Husam bin Musa, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menyerahkan kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) kepada balu bekas pemain bola sepak Kelantan dan Kebangsaan di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SPNB di Parlimen Pasir Puteh pada hari ini.

Penyerahan kunci RMR ini merupakan sumbangan yang dilaksanakan oleh SPNB kepada penerima bantuan iaitu Puan Suhaini binti Muhamad Asri, balu kepada Allahyarham Wan Ezila bin Wan Daud sebagai hadiah di atas jasa bakti beliau yang pernah mewakili negara di dalam arena sukan bola sepak tanah air.  

Pemberian RMR ini merupakan inisiatif YBhg. Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi SPNB yang mana rumah ini kali pertama diberikan kepada bintang bola sepak negara di bawah CSR SPNB dalam menghargai jasa dan pengorbanan atlet tersebut semasa aktif bersukan untuk negara.

Terdahulu YBhg. Datuk Husam Musa telah mengadakan sesi pecah tanah pada            9 Jun 2024 sebagai simbolik pembinaan RMR bernilai RM75,000.00. Pihak kontraktor telah memulakan pembinaan pada 25 Jun 2024 dan telah siap untuk diduduki pada 11 Ogos 2024 yang hanya mengambil masa 47 hari.

Program RMR ini diwujudkan bagi membantu golongan sasar yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina kediaman sendiri yang sempurna dan selesa. Menurut Datuk Husam Musa, harga semasa RMR adalah bermula daripada RM75,000.00 mengikut kawasan dan subsidi sebanyak RM20,000.00 diberikan oleh kerajaan bagi setiap permohonan. “Ini bermakna bayaran bulanan bagi program RMR adalah serendah RM300.00 sebulan selama 16 tahun.

Selain itu, SPNB juga menawarkan Program RMR 2.0, yang mana syarat kelayakan pemohon mendapatkan RMR 1.0 dan RMR 2.0 adalah sama, termasuk pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM5,000. Namun yang membezakannya, pemohon RMR 1.0 perlu mencagarkan tanah mereka kepada SPNB untuk pinjaman sebanyak RM55,000 selama 16 tahun, namun kelulusannya perlu mengikut giliran. Bagi RMR 2.0, baki bayaran pembinaan rumah RM55,000 selepas subsidi perlu dibayar secara tunai kepada SPNB dan pemilik tidak perlu mencagar tanah, selain proses pembinaan jauh lebih cepat kerana tidak perlu menunggu giliran.

Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang SPNB di pautan www.spnb.com.my atau terus ke cawangan SPNB di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, “Justeru, kepada yang berminat dengan program ini, permohonan boleh dibuat sedemikian,” tambah beliau lagi.

Semenjak RMR diperkenalkan pada tahun 2002 sehingga akhir bulan Julai 2024, SPNB telah berjaya membina sebanyak 10,451 unit RMR di Negeri Kelantan. Secara keseluruhannya, SPNB telah berjaya membina sebanyak 66,424 unit RMR di seluruh Negara. SPNB sentiasa memberikan komitmen bagi memastikan penyediaan projek-projek perumahan kepada seluruh rakyat di bawah seliaan KPKT diberikan keutamaan dalam memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan seluruh rakyat menerusi kerangka Malaysia Madani.

#KediamanAndaTanggungjawabKami
#RMR

MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD

SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD (SPNB) adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) di bawah pengurusan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.

Dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder SPNB. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-7849 2000 ext: 2584 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Di bawah pengurusan
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan

Aduan dan maklumbalas

Ikuti kami di sosial media
Sistem Pengurusan Anti-Bribery
©2023 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   Hakcipta Terpelihara