KPKT Meneruskan Agenda Aspirasi Daya Huni Melalui 694 Perumahan Mampu Milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Vista Perdana Fasa 3, Miri, Sarawak

Miri, 24 November 2021YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak bersama YB Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan YB Dato’ Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bersama Kumpulan Syarikat Naim (NAIM) bertempat di Miri, Sarawak hari ini.

MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen bin Isnin dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Naim, Datuk Hasmi Hasnan ini diadakan bagi membolehkan kedua pihak merekodkan persefahaman berhubung dengan cadangan untuk bekerjasama dalam pembangunan perumahan Vista Perdana Fasa 3 di Permai Jaya, Kuala Baram, Miri, Sarawak.

Projek Vista Perdana merupakan salah satu projek perumahan rumah mampu milik yang dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), berkeluasan 296 ekar di Miri, Sarawak yang telah bermula dari tahun 2006. Pembangunan projek ini dilaksanakan secara berkelompok melalui tiga fasa, dengan fasa satu telah siap pada tahun 2010 dan fasa dua telah siap dibina pada tahun 2018, hasil kerjasama dengan Syarikat Kumpulan Naim (NAIM).

NAIM sejak penubuhannya lebih 25 tahun lalu telah membina kira-kira 12,000 unit rumah dalam segmen kos rendah mampu milik yang terdiri dari pembangunan kendiri atau secara kerjasama dengan pelbagai agensi negeri Sarawak dan persekutuan seperti SPNB dan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Menurut Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak, “Kerajaan Negeri Sarawak sememangnya mengalu-alukan usaha berterusan KPKT melalui agensinya SPNB dalam menyediakan perumahan mampu milik di Sarawak di kawasan seperti Miri dan Kuching. Usaha tersebut akan membantu mempertingkatkan tahap pemilikan rumah di kalangan kumpulan sasar.

Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada prinsip ‘Rakyat dan Sarawak didahulukan’. Justeru itu, perumahan mampu milik dan dalam lingkungan sederhana adalah salah satu keutamaan kami. Pentadbiran saya mengambil pendekatan secara holistik mengenai perkara ini dengan bukan sahaja mempergiatkan usaha menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat kita, tetapi juga menangani masalah pembiayaan akhir dalam kalangan kumpulan sasar dan mengurangkan tekanan kos dalam pasaran perumahan”.

Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula berkata, “KPKT akan terus komited menjayakan agenda perumahan untuk Keluarga Malaysia ini melalui pengaktifan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang akan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

"Penyediaan pemilikan rumah mampu milik yang selesa untuk Keluarga Malaysia merupakan agenda utama Kerajaan menerusi gagasan “Liveable Malaysia atau Malaysia Berdaya Huni”. Ini selaras dengan strategi RMKe-12 yang memastikan pelaksanaan projek- projek perumahan di seluruh negara untuk golongan M40 dan B40 terus diberi perhatian dan lebih inklusif serta memiliki infrastruktur lengkap dan berkualiti untuk didiami”.

Pembangunan Fasa 3 ini merangkumi sebanyak 694 unit buah rumah teres satu tingkat berkeluasan 900 kaki persegi. Kediaman ini juga bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan asas seperti zon komersial dan berdekatan dengan kemudahan awam seperti hospital serta lokasi strategik yang terletak hanya 20 minit dari Lapangan Terbang Miri. Jumlah keseluruhan pembangunan Projek Vista Perdana ini adalah dianggarkan sebanyak 2,446 unit dengan komposisi saiz rumah bermula dari 750 kaki persegi sehingga 1,276 kaki persegi.

Sehingga kini, sebanyak 27,518 unit rumah kediaman SPNB telah disiapkan di seluruh Malaysia dengan 1,968 unit rumah sedang dalam pembinaan serta 1,841 unit rumah masih dalam pelbagai peringkat perancangan. Untuk golongan B40 pula, sebanyak 47,745 unit Rumah Mesra Rakyat telah siap dibina di seluruh negara. Dan pada tahun ini dijangka sebanyak 5,000 – 6,000 unit akan disiapkan untuk rakyat.

SPNB akan memberi tumpuan dalam menyediakan perumahan yang berteraskan rakyat (citizen-centric) bagi membantu rakyat terutamanya dalam usaha meningkatkan peluang pemilikan rumah untuk golongan B50.

-tamat-

MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD

SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD (SPNB) adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.

MENGENAI KUMPULAN SYARIKAT NAIM

KUMPULAN SYARIKAT NAIM sebagai syarikat pemaju hartanah terkemuka di Sarawak, Kumpulan Syarikat Naim memulakan operasinya pada tahun 1995. Dengan rekod prestasi syarikat yang lebih 25 tahun dalam sektor hartanah, Naim telah membina lebih daripada 23,000 unit hartanah untuk masyarakat Sarawak. Naim kini beroperasi di Kuching, Miri dan Bintulu.

Dikeluarkan oleh Seksyen Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-2618 2587/5659 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Under the purview of
Ministry of Local Government Development of Malaysia

Complaints and feedback

Follow our social media
Anti-Bribery Management System
©2023 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   All Rights Reserved