Langkah Penyelesaian oleh KPKT Akhiri Penantian Projek Kediaman SPNB Aspire Residence, Cyberjaya

SEPANG, 22 MAC 2022 – YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini mengadakan lawatan turun padang dan mengumumkan komitmen KPKT bagi memastikan pembangunan projek Kediaman SPNB Aspire Residence Cyberjaya yang tergendala sejak 2019 dapat diteruskan dalam masa terdekat.

Projek Kediaman SPNB Aspire Residence Cyberjaya ini mempunyai 1,168 unit keseluruhannya mula dibangunkan pada tahun 2016 namun mengalami kelewatan dan dikategorikan sebagai projek sakit di dalam War Room Perumahan KPKT. Kontraktor yang dilantik, Sterling Prima Sdn Bhd mengalami masalah aliran tunai sehingga mengganggu kerja-kerja pembinaan di tapak.

Melalui pendekatan War Room Perumahan yang diperkenalkan oleh YB Dato’ Sri Reezal Merican, KPKT telah dapat mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian bagi membolehkan projek ini dapat diteruskan dengan segera. Setelah beberapa siri perbincangan dan rundingan di antara SPNB dan Sterling Prima Sdn Bhd diadakan, kedua-dua pihak bersetuju supaya langkah penamatan bersama (mutual termination) diambil bagi membolehkan pembinaan projek ini diteruskan.

SPNB akan melantik kontraktor baharu dalam masa terdekat untuk menyiapkan Fasa 1 projek ini dalam tempoh 16 bulan. 

Selain itu, YB Dato’ Sri Reezal Merican juga menjelaskan bahawa KPKT mengambil berat tentang keresahan dan kegelisahan para pembeli dan beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pembeli pada 22 Februari 2022 yang lalu. Ini termasuklah usaha beliau mendapatkan penjadualan semula bayaran atau moratorium bagi pembeli yang meminjam dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi semua projek-projek dikategorikan sebagai sakit di bawah seliaan KPKT termasuklah PPAM, PR1MA dan SPNB.

Beliau turut memaklumkan bahawa SPNB akan memastikan bahawa setiap hak-hak pembeli akan terjamin sepenuhnya tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli yang telah ditandatangani para pembeli sebelum ini. Ini termasuklah juga urusan pembayaran Denda Serah Lewat (LAD) seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli bagi menampung sebarang kerugian para pembeli.

Langkah penyelesaian ini pastinya akan mengakhiri penantian seramai 558 pembeli projek Kediaman SPNB Aspire Residence yang telah lama bersabar dan menunggu agar projek ini dapat dimulakan kerja semula dan disiapkan dengan segera.

Usaha penyelesaian ini adalah hasil daripada kerjasama Kementerian Kewangan terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk merawat keresahan pembeli bagi memastikan projek Kediaman SPNB Aspire Residence Cyberjaya dapat diserahkan kepada pembeli.

KPKT sentiasa memberikan komitmen bagi memastikan projek-projek penyediaan perumahan kepada Keluarga Malaysia di bawah seliaan KPKT diberi keutamaan dan dapat disiapkan dengan segera. Ini bagi membolehkan hasrat Satu Keluarga, Satu Rumah yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri dapat direalisasikan demi manfaat Keluarga Malaysia keseluruhannya. 

#KPKTPrihatin #PasukanKPKT  

#BekerjaBersamaRakyat #KeluargaMalaysia

MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD

SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD (SPNB) adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.

Dikeluarkan oleh Seksyen Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-2618 2587/5659 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Di bawah pengurusan
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

Ikuti kami di sosial media
©2021 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   Hakcipta Terpelihara