Rumah Mampu Milik SPNB Bakal Dibangunkan di Kuantan, Pahang

Pelancaran Rumah Mampu Milik SPNB, Kuantan, Pahang

Kuantan, 13 Disember 2019 - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah mengadakan Majlis Pelancaran Rumah Mampu Milik SPNB, Kuantan, Pahang yang telah disempurnakan oleh YB Puan Hajah Zuraida Binti Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Turut hadir bersama adalah YBhg Dato’ Sri Haji Mohammad Bin Mentek, Ketua Setiausaha KPKT merangkap Pengerusi SPNB, YB Dato’ Nor Azmi B. Mat Ludin, Ahli Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Barisan Ahli Lembaga Pengarah SPNB serta pegawai- pegawai dari agensi-agensi berkaitan dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) ini dibangunkan melalui kaedah Reka Dan Bina dengan „Private Finance Initiative‟ (PFI). Ia dibangunkan di Mukim Kuala Kuantan, Kuantan, Pahang yang berkeluasan tanah 146 ekar. Pelan susunatur pembangunan RMM ini meliputi jumlah keseluruhannya sebanyak 1,422 unit. Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak 547 unit akan dibangunkan dalam Fasa 1, 458 unit dalam Fasa 2 dan 417 unit dalam Fasa 3. Komposisi jenis perumahan yang akan dibangunkan adalah jenis rumah teres satu tingkat (363 unit), rumah teres dua tingkat – Jenis A (435 unit), rumah teres dua tingkat – Jenis B (185 unit), rumah teres satu tingkat sederhana rendah (427 unit), kedai satu tingkat (12 unit). Sebagai permulaan, pembangunan perumahan bagi Fasa 1 merangkumi 186 unit rumah teres 1 tingkat, 271 unit rumah teres 2 tingkat (Jenis A), 78 unit rumah teres 2 tingkat (Jenis B) dan 12 unit kedai 1 tingkat.

Antara faktor-faktor kemudahan sekitar tapak perumahan adalah Taman Tema Air Gambang (23km), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Gambang) (21km), Kolej Matrikulasi Pahang (19km), Universiti Malaysia Pahang (Gambang) (14.7km), Kem TUDM Batu 10, Kuantan (7km), Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (10km).

Menurut Dato‟ Sri Haji Mohammad bin Mentek, “Melalui kaedah (projek pembangunan) Pembangunan Rumah Mampu Milik di Kuantan Pahang ini, ia dapat membuka lebih peluang kepada penduduk setempat terutama bagi pembeli rumah pertama untuk memiliki rumah sendiri dengan harga mampu milik”.

Selain program RMM yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia, SPNB juga telah memperuntukkan sebanyak RM318.33 juta pada tahun 2020 bagi pelaksanaan program Rumah Mesra Rakyat (RMR). Melalui program ini, SPNB bakal memperkenalkan Program RMR yang akan menawarkan pakej-pakej baharu seperti pinjaman tanpa faedah, tempoh pinjaman yang lebih pendek dan rekabentuk yang lebih menarik.

Bagi menjamin sekuriti pembiayaan terhadap pakej-pakej baharu yang lebih menarik itu, pada bayaran kali pertama, pemohon yang layak perlu membuat bayaran balik setelah rumah siap dan kunci rumah diserahkan kepada pemohon tertakluk mengikut terma dan syarat yang dipersetujui. Pemohon yang berminat boleh mula membuat permohonan melalui sistem atas talian di laman web SPNB bermula tahun hadapan.

Semasa majlis tersebut juga telah diadakan pameran beberapa projek SPNB yang terdapat di negeri Pahang. Projek-projek tersebut adalah Projek Perumahan Makmur Idaman Lakeview Jaya, Karak Setia, projek Taman Nusa Puteri, Sungai Puteri, K.Rompin, Pahang, dan program RMR Plus. Tambah Mohammad lagi, “Melalui tawaran perumahan yang disediakan oleh SPNB ini, diharapkan lebih ramai lagi dapat memiliki rumah yang diidamkan oleh rakyat Malaysia” katanya.

-tamat-

SEPINTAS LALU MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diperbadankan pada 21 Ogos 1997. Ia merupakan Syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF. Inc) yang ditubuhkan untuk menyediakan Rumah Mampu Milik yang berkualiti untuk semua keluarga di seluruh Malaysia selaras dengan Objektif Perumahan Negara.

Dikeluarkan oleh Seksyen Komunikasi Luar. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-2618 5555/5659 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.

Untuk keterangan lanjut, sila layari www.spnb.com.my

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Di bawah pengurusan
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan

Aduan dan maklumbalas

Ikuti kami di sosial media
Sistem Pengurusan Anti-Bribery
©2023 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   Hakcipta Terpelihara