SPNB Komited Tingkat Penyediaan Rumah Mampu Milik Sejajar Aspirasi Malaysia Madani

KOTA BHARU, 12 MEI 2023 – YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha KPKT mewakili YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyerahkan kunci kepada penerima rumah di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) serta memberi penghargaan kepada kontraktor cemerlang di Majlis Penyerahan Kunci dan Penghargaan Program RMR peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu pada petang ini.

Majlis yang julung kali diadakan di Negeri Kelantan ini turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Suhaimi bin Ali@Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT; YBhg. Datuk Husam bin Musa, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB); dan YBhg. Datuk Hasleen bin Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan, Agensi di bawah KPKT.

Sehingga kini, Negeri Kelantan telah menerima 13,719 jumlah permohonan semenjak program ini diperkenalkan pada tahun 2002. Sepanjang Januari sehingga April 2023 pula, negeri Kelantan telah menerima 740 jumlah permohonan dan terdapat 662 permohonan lagi masih dalam senarai menunggu.

Berikutan sambutan yang amat baik diberikan, pihak Kerajaan menyasarkan untuk membina sejumlah 500 unit RMR khusus kepada pemohon di Negeri Kelantan pada tahun ini yang bakal melibatkan RM10 juta subsidi daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut YBhg. Datuk KSU, “Pembinaan RMR telah menyaksikan Kelantan menjadi negeri yang mempunyai jumlah pembinaan RMR tertinggi di Malaysia berbanding negeri-negeri yang lain”.

Tambah beliau, “KPKT amat menghargai penerima-penerima RMR di Kelantan yang telah mencatatkan rekod pembayaran semula pinjaman yang baik kepada SPNB. Trend aliran pembayaran ini telah membantu SPNB untuk membuat pusingan modal awal bagi pembinaan unit RMR yang lain dan secara tidak langsung, pemilik RMR di Kelantan telah menyumbang kepada pembinaan lebih banyak unit RMR di seluruh negara”.

Sejak program ini diperkenalkan, 9,260 unit RMR telah berjaya dibina di negeri Kelantan yang telah melibatkan peruntukan subsidi sebanyak RM185 juta daripada pihak Kerajaan Persekutuan.

Majlis ini turut meraikan dan menghargai barisan kontraktor RMR cemerlang yang selama ini komited membina RMR mengikut tempoh yang ditetapkan di Negeri Kelantan. Terdapat 526 kontraktor yang aktif di Kelantan dan secara keseluruhan, 5,286 kontraktor telah berdaftar di bawah SPNB untuk melaksana pembinaan RMR di seluruh negara.

Program RMR merupakan salah satu inisiatif pihak Kerajaan Persekutuan yang dilihat sejajar dengan konsep Perumahan Madani berlandaskan dasar pentadbiran yang lebih manusiawi kepada seluruh rakyat Malaysia.

#StrongerTogether
#DemiPertiwi

#UnityInDiversity
#KediamanAndaTanggungjawabKami

MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD

SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD (SPNB) adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.

Dikeluarkan oleh Seksyen Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-2618 2587/5659 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Di bawah pengurusan
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan

Aduan dan maklumbalas

Ikuti kami di sosial media
Sistem Pengurusan Anti-Bribery
©2023 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   Hakcipta Terpelihara