KPKT Terus Pergiatkan Agenda Turun Padang Bagi Memastikan Projek Perumahan Berjaya Disiapkan

JOHOR BAHRU, 6 Julai 2023 – YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini meneruskan agenda turun padang ke tapak projek perumahan sakit dan terbengkalai di Negeri Johor bagi melihat sendiri isu berbangkit dan bertemu dengan pemaju dan agensi yang terlibat. YB Timbalan Menteri telah melakukan lawatan kerja bagi meninjau dua projek perumahan swasta sakit iaitu Residensi Larkin Indah dan Taman Seri Molek Perdana serta satu projek terbengkalai iaitu Taman Desa Kempas Fasa 3.

Projek Residensi Larkin Indah merupakan sebuah projek yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA). Projek ini terdiri daripada 1,174 unit apartmen yang bersaiz 860 hingga 1,200 kaki persegi dengan harga jualan bermula RM259,335. Sehingga 31 Mei 2023, tahap kemajuan pembinaan projek ini adalah 99.88%. Penyiapan projek sekarang melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan, pemasangan kabel elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), kemasan dan pembetulan kecacatan bangunan sebelum pemeriksaan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan agensi teknikal untuk sokongan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate Of Completion And Compliance, CCC).

Projek kedua yang dilawati adalah Projek Taman Desa Kempas Fasa 3, Johor Bahru yang merupakan sebuah projek Penswastaan Perumahan Johor yang dimeterai di antara Kerajaan Negeri Johor dengan Syarikat Maju Delima Sdn. Bhd. pada 19 April 1990. Projek perumahan swasta ini diisytiharkan terbengkalai pada 18 September 2013 oleh YB Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan. Sehingga kini, KPKT dengan Kerajaan Negeri Johor telah memudah cara dan memantau projek ini sehingga mencapai status penyiapan 95% di tapak bagi pembinaan tiga blok rumah pangsa lima tingkat yang mengandungi 172 unit rumah dan tujuh unit kedai. Harga jualan rumah di antara RM22,000.00 hingga RM88,066.00. Pada masa ini, pemaju sedang berusaha menjalankan kerja-kerja penyiapan bagi memenuhi keperluan mendapat kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate Of Completion And Compliance, CCC) dan sasaran CCC akan diperolehi pada bulan Ogos 2023.

YB Timbalan Menteri turut meninjau pembangunan projek Taman Seri Molek Perdana, Johor Bahru yang terdiri daripada 972 unit kediaman merangkumi Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah, Pangsapuri Kos Sederhana dan Rumah Pangsa Kos Rendah. Projek yang telah dimajukan sejak 2007 dan sepatutnya siap pada 2010 ini telah tergendala akibat kegagalan kontraktor terdahulu. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah mengambil alih projek ini pada tahun 2019 dengan melantik kontraktor penyelamat pada Disember 2022 bagi penyambungan baki kerja kontraktor terdahulu. Sehingga 15 Jun 2023, Fasa 1 (Blok F) projek ini telah memperolehi CCC pada 15hb Januari 2020. Manakala bagi Fasa 2 (Blok A,B,C) CCC telah diperolehi pada 31 Disember 2021. Bagi pembangunan Fasa 3 (Blok D,E) pula, kerja-kerja penyiapan pemasangan lif, penyiapan kemasan dalam bangunan dan kerja-kerja infrastruktur sedang giat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Selain itu, proses penyerahan kunci juga akan dilaksanakan kepada pembeli secara berperingkat.

KPKT akan terus melakukan pemantauan rapi melalui mesyuarat secara berkala bersama agensi teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta bersedia menjadi pemudahcara sekiranya terdapat isu berbangkit antara pemaju dan agensi-agensi kerajaan atau teknikal. Ini bagi memastikan projek-projek sakit ini dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang dicadangkan. Oleh itu, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri secara berterusan amatlah diharapkan dalam menyelesaikan permasalahan projek rumah sakit dan terbengkalai. Ini pastinya dapat memberikan impak positif dalam menjayakan agenda dan fokus utama KPKT demi kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas.

#MalaysiaMadani
#StrongerTogether
#DemiPertiwi
#UnityInDiversity

MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD

SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD (SPNB) adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.

Dikeluarkan oleh Seksyen Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-2618 2587/5659 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Di bawah pengurusan
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan

Aduan dan maklumbalas

Ikuti kami di sosial media
Sistem Pengurusan Anti-Bribery
©2023 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   Hakcipta Terpelihara