Inisiatif Pemilikan Kediaman Mampu Milik Dan Berdaya Huni Terus Menjadi Fokus KPKT Di Negeri Kedah

PADANG TERAP, 23 Julai 2023 – YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan telah menyerahkan surat tawaran menduduki Program Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah kepada 50 orang penerima yang layak pada pagi ini. Ia merupakan fasa kedua setelah kemasukan seramai 85 orang penerima telah dilaksanakan pada bulan April 2023 yang lalu. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan.

PPR Kuala Nerang, Kedah merupakan salah satu daripada 10 PPR yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan di Negeri Kedah. PPR yang telah siap dibina pada tahun 2019 ini terdiri daripada 286 unit rumah teres satu tingkat dengan empat (4) unit rumah Orang Kurang Upaya (OKU), dewan serbaguna, surau, gerai dan tadika.

Pada awalnya, PPR ini telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah di mana Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya pengisian dan penjualan PPR ini dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Justeru, KPKT telah bersetuju untuk membuat penjualan kepada pemohon yang layak, tetapi proses pengisian ini telah tertangguh disebabkan terdapat masalah pemilikan tanah. Walau bagaimanapun pada tahun ini, KPKT telah bersetuju untuk menjadikan PPR ini dimiliki melalui kaedah Sewa Untuk Dimiliki (Rent to Own) dan telah berjaya ditawarkan kepada pemohon yang layak.

Menurut YB Timbalan Menteri, “Kesemua unit rumah akan diperiksa bagi memastikan pembaikan dibuat sewajarnya sebelum ditawarkan kepada pemohon yang layak. Sehingga hari ini, sebanyak 135 unit telah ditawarkan manakala baki sebanyak 151 unit lagi akan diisi selepas selesai proses pembaikan yang sedang diusahakan oleh pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).”

Penerima PPR ditawarkan skim Sewa-untuk-Milik atau Rent-to-Own (RTO) untuk tempoh sela masa sewaan selama 5 tahun sehingga 20 tahun. Kadar bayaran sewaan adalah sebanyak RM237, iaitu sebanyak RM225 sewaan dan RM12 ringgit untuk kos pengurusan (administrative fee). Tawaran untuk memiliki akan diberikan setiap 5 tahun dengan membuat baki bayaran penuh dengan syarat penyewa konsisten dalam membuat pembayaran sewaan dan kos pengurusan. PPR ini akan diuruskan oleh PR1MA Facilities Management Sdn. Bhd. (PMFSB) iaitu anak syarikat Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), salah satu agensi di bawah KPKT.

Selain itu, YB Timbalan Menteri turut memaklumkan KPKT telah menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja pembaikan kemudahan-kemudahan awam di PPR Kuala Nerang ini iaitu dewan, surau, tadika dan gerai, serta pembaikan jalan yang runtuh. Manakala sebanyak RM2.61 juta peruntukan telah disalurkan bagi penyelenggaraan dan baik pulih perumahan awam dan swasta berstrata di negeri Kedah untuk tahun 2023.

Oleh itu secara keseluruhannya sebanyak RM3.11 juta peruntukan Kerajaan Perpaduan telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk penyelenggaraan dan baik pulih rumah PPR termasuk perumahan awam dan swasta berstrata. Ini menunjukkan komitmen KPKT dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk PPR melalui penyediaan perumahan yang selamat, berkualiti dan berdaya huni.

Sebelum itu, YB Akmal turut berkesempatan turun padang meninjau projek perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Taman Universiti Jaya Fasa 2B, Semeling Kedah yang telah berjaya dibaik pulih oleh SPNB setelah mengalami kelewatan. Sehingga kini, status kemajuan projek tersebut telah mencapai 97 peratus. Projek Taman Universiti Jaya (Fasa 2B) bagi Pakej 2 ini merangkumi 68 unit rumah teres setingkat dan telah terjual sepenuhnya.

Kata beliau, “Dalam tempoh 3 tahun bermula Ogos 2020, SPNB telah melalui satu fasa penyusunan semula strategi bagi memastikan SPNB kembali fokus sebagai peneraju penyediaan kediaman mampu milik.”

KPKT terus komited dan peka dalam usaha menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti dan kondusif kepada rakyat. Selain itu, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting dalam mengenal pasti projek-projek yang berupaya untuk dipulihkan bagi memelihara kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas. Ini seiring dengan peranan KPKT dalam memastikan perancangan perumahan yang lebih komprehensif dan berdaya saing sebagai salah satu daripada tujuh (7) fokus utama yang telah digariskan oleh KPKT.

#MalaysiaMadani
#StrongerTogether
#DemiPertiwi
#UnityInDiversity

MENGENAI SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD

SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD (SPNB) adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.

Dikeluarkan oleh Seksyen Unit Komunikasi Korporat dan Stakeholder. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di talian 03-2618 2587/5659 atau menerusi email di pr@spnb.com.my.

Syarikat Perumahan Negara Berhad
Level 1, Block C, Dataran PHB, Saujana Resort,
Seksyen U2, 40150 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Di bawah pengurusan
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan

Aduan dan maklumbalas

Ikuti kami di sosial media
Sistem Pengurusan Anti-Bribery
©2023 Syarikat Perumahan Negara Berhad.   Hakcipta Terpelihara